...... kerana dia cinta HATI saya .

بسم الله الرحمن الرحيم



     Jika dikumpulkan semua kasih sayang ibu di dunia ini dari zaman Nabi Adam sehingga kiamat nanti tidak akan dapat menyamai kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Bayangkan kasih seorang ibu, cubalah kita ukur kasihnya kepada anaknya, boleh diukur? Sekiranya ada alat yang boleh mengukur kasih sayang ibu pastinya tak terbaca alat itu kasih dan sayangnya seorang ibu kepada anak-anaknya kerana setiap kali ia ingin mengukurnya, saya yakin bacaannya akan sentiasa melebihi had ukuran alat itu. Cuba bayangkan ukuran kasih dan sayang Allah pada hamba-Nya.
      Saya tidak dapat menceritakan peristiwa yang berlaku yang membuatkan saya faham kerana saya khuatir ia boleh menyinggung hati mereka yang terlibat di dalam peristiwa tersebut. Namun di dalam peristiwa ini saya diajarkan Allah bahawa seorang ibu itu pastinya tidak sempurna kerana seorang ibu adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan seperti kita juga. Saya perhatikan dan amati di dalam masyarakat kita banyak sifat ibu yang mungkin menyebabkan anak-anak tidak begitu gembira, contohnya suka berleter, lebih menyayangi anak yang lain ( persepsi ), suka menjerit ( saya pernah mendengar seorang ibu yang asyik menjerit pada anak-anaknya dari mula saya datang kerumahnya sampai saya balik ),  suka membazir,  suka menunjuk-nunjuk,  suka mengumpat menantu,  suka bersolek dan sebagainya.
     Apapun kelemahan ibu, kita tidak boleh sama sekali mengecilkan hatinya baik dengan apa cara sekalipun. Sebagai manusia biasa yang hatinya boleh terluka, saya yakin antara luka yang paling dalam adalah apabila dilukai oleh anaknya sendiri. Anak yang disusuinya, anak yang membuatkan dia tidak tidur malam berhari-hari, anak yang dijaganya seperti menatang minyak yang penuh.Kita wajib menghormati ibu pada setiap waktu. Ada seorang yang saya kenali yang suka bertanya kepada Allah di dalam urusan kehidupannya. Pada suatu hari dia mengatakan bahawa dia sangat bersyukur dibimbing Allah, diberi hidayah oleh Allah sehingga dia dapat mengenali Allah dan mendapat nikmat ketenangan hidup di bawah lembayung rahmat kasih sayang Allah.
       Semoga Allah mengampuni kita di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan yang telah mengecilkan hati ibu. Sekiranya ibu kita masih ada bersyukurlah kerana ibu akan mendoakan kita setiap hari. Insya-Allah.sekiranya ibu kita sudah tiada, doakanlah keselamatan untuknya di alam sana sebagaimana dia sering mendoakan kita ketika hayatnya.

     Dia Mazmon Binti Daud . Dia permaisuri saya kerana dia cinta hati saya :)

1 comment

Sayang dan hargai ibu bapa anda :)

Post a Comment